Sangkakala iaitu sejenis serunai akan ditiup oleh Malaikat
Israfil sebelum Hari Kiamat. Diriwayatkan Sangkakala yang ditiup oleh malaikat
Israfil ini adalah sebanyak tiga (3) kali tiupan iaitu:
Tiupan sangkakala pertama - (Tiupan mengejutkan)
Tiupan sangkakala kedua - (Tiupan mematikan)
Tiupan sangkakala ketiga - (Tiupan membangkitkan)
Hal ini berlandaskan Hadis Rasulullah S.A.W yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya
Allah setelah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala,
lalu diberikan di mulut Israfil, maka Israfil meletakkan sangkakala dimulutnya
dan pandangan matanya ke arah Arasy menunggu bila diperintahkan (meniup
sangkakala)." Aku (Abu Hurairah) berkata; "Wahai Rasulullah apakah
sangkakala itu?, Baginda menjawab "Tanduk", aku bertanya lagi
Bagaimanakah bentuknya?, Baginda menjawab "Sangat besar". Lalu
baginda melanjutkan sabdanya: "Demi zat (Allah) yang mengutusku dengan
kebenaran, sesungguhnya garis tengah sangkakala itu seluas langit dan bumi,
yang akan ditiup dengan 3 kali tiupan. Yang pertama tiupan mengejutkan, yang
kedua tiupan mematikan dan yang ketiga, tiupan kebangkitan untuk menghadap
Tuhan semesta alam."
Tiupan sangkakala pertama
Pada tiupan ini, seluruh alam semesta termasuk langit dan
bumi serta alam buana akan bergoncang dengan sebenar-benar goncangan dan
benar-benar hebat, seluruh makhluk digambarkan ketakutan dan amat terperanjat,
Menurut Al-Quran gambaran tatkala pasca tiupan pertama cukup dahsyat,
sehinggakan ibu yang menyusukan anaknya akan melepaskan (mencampakkan) anaknya,
orang yang hamil, tiba-tiba melahirkan anaknya walaupun janinnya masih muda,
manusia juga lintang pukang seperti kupu-kupu bertebaran (Surah Al-Qariah).
Al-Quran juga jelas menggambarkan tiada sesuatupun yang mengetahui bila Kiamat
itu muncul, sedangkan Hari Kiamat itu berlaku tatkala manusia sedang sibuk
melayan urusan dunia mereka, ada juga yang sibuk memikirkan dan bertanya antara
sesama mereka tentang bila Kiamat akan bermula dan ada juga manusia sedang
sibuk bertengkar atas pelbagai urusan. Firman Allah SWT dalam Surah Yaasin ayat
48-50 bermaksud:
“ Dan mereka
berkata: "Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu
adalah orang-orang yang benar?. Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan
sahaja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar. Lalu
mereka tidak kuasa membuat satu wasiat pun dan tidak (pula) dapat kembali
kepada keluarganya. ”
Digambarkan suasana keadaan bumi berlakunya gempa bumi yang
dahsyat, gunung-ganang hancur dan berkecai (Surah Al-Qariah dan Surah
At-Takwir), kerak-kerak bumi diterbalikkan, laut menaik seperti ombak tsunami
yang begitu hebat serta panas mendidih (Surah At-Takwir). Kebakaran yang
berlaku akibat letusan gunung berapi, meletupnya tempat simpanan gas, nuklear,
sehinggakan tidak dapat dipadam, api marak dan menjulang tinggi dan seluruh
dunia diselaputi asap tebal. Bumi digambarkan hilang cahayanya tiada lagi
sumber cahaya, bumi menjadi gelap gelita.
Al-Quran juga menggambar suasana langit juga turut tidak
teratur, planet-planet tidak lagi beredar pada orbitnya, langit dilihat
terbelah (Surah Al-Insyiqaq), bintang-bintang bertaburan, matahari hilang akan
cahayanya (Surah At-Takwir). Semuanya berlanggar antara satu sama lain. Tentang
tiupan sangkakala pertama, Allah menjelaskan dalam Al-Quran:
“ Pada masa
berlakunya "tiupan sangkakala yang pertama" yang menggoncangkan alam,
(sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekalian makhluk selain
dari yang dikecualikan), (Surah An-Naaziat : 6) ”
Dari dalil diatas ternyata apa-apa yang berada di seluruh
pelosok langit dan di bumi akan mati, melainkan mereka yang dikehendaki oleh
Allah. Ulama tafsir berpendapat makhluk yang masih hidup adalah golongan
Malaikat. Surah An-Naaziat ayat 1 hingga 6 jelas menunjukkan pada saat
berlakunya tiupan sangkakala pertama Malaikat-malaikat akan memulakan tugasnya
dengan agresif untuk mencabut nyawa dan menghancurkan langit dan bumi atas
perintah Allah.
Keadaan iblis dan syaitan
Allah telah berjanji untuk memanjangkan umur iblis dan
syaitan sehingga munculnya Hari Kiamat, iblis dan syaitan pasca tiupan
sangkakala pertama dilihat akan menjadi tidak kehaluan, ketika itu iblis, mula
menyesali perbuatan jahatnya kepada anak-anak dan keturunan Nabi Adam a.s..
Iblis ketika itu menangis dan berkata: "Tuhanku, sekarang suruhlah aku
sujud kepada siapa yang Engkau kehendaki". Ketika itu para syaitan berasa
hairan dengan keadaan iblis yang merendah diri, lalu mereka bertanya,
"Wahai penghulu kami kepada siapa engkau tunduk?", iblis mengangkat
kepalanya lalu berkata "Aku merendah dan sujud kepada Tuhan sekalian alam
yang telah memanjangkan umurku (dan umurmu) sampai hari sudah ditentukan. Sekarang
sudah dekat masanya hari yang ditentukan itu.". Maka seluruh bala tentera
syaitan dan iblis menangis dan memohon taubat dari Allah, tiada taubat dari
Allah kepada mereka lagi kerana mereka telah kafir. (Surah Al-Baqarah ayat 34)
Tiupan sangkakala kedua
Setelah beberapa lama keadaan kehancuran dan porak peranda
bumi dan seluruh alam semesta yang bertambah hebat dan sangat rakus
menghacurkan segala isi langit dan bumi tanpa belas kasihan. Maka Allah SWT telah
mengarahkan Malaikat Israfil untuk meniup sangkakala kedua.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Naaziat ayat 7:
“ Tiupan
pertama itu diiringi oleh tiupan kedua. ”
Pada tiupan kali ini, seluruh makhluk alam semesta dan alam
buana akan mati keseluruhannya, melainkan sesiapa yang ditentukan Allah untuk
masih bernyawa. Pada peringkat ini bunyi sangkakala ini dapat didengari
sehingga lapisan langit ke-7. Malaikat Israfil juga mati pada saat ini sejurus
ia meniup sangkakala.
Pada saat ini tanggungjawab Malaikat Izrail untuk mencabut
nyawa bertambah agresif, jika dibandingkan dengan tugasnya mencabut nyawa
sebelum tiupan sangkakala pertama dan ketika tiupan sangkakala pertama.
Malaikat Izrail diriwayatkan akan mencabut nyawa seluruh makhluk di alam langit
dan bumi dengan wajah yang mengerikan. Ia akan mencabut nyawa golongan munkar
dengan paksaan dan kekerasan.
Setelah Malaikat Izrail menjalankan tugasnya mencabut nyawa
segala makhluk hidupan termasuk nyawa haiwan, tumbuh-tumbuhan, manusia, jin,
syaitan, iblis, batu-batu, udara, air, nyawa segala zarah dan atom dan
lain-lain. Maka Malaikat Izrail (Malaikat Maut) akan segera menghadap Allah
dengan penuh tawaduk, amat takut dan gerun, mengucap syukur dan pujian-pujian
kepada Allah, seraya berkata: “Ya Rabbi, semua penduduk langit dan bumi telah
meninggal kecuali yang Engkau kehendaki.” Lalu Allah berfirman (dan Dia lebih
mengetahui mereka yang tertinggal) , “Siapa yang tertinggal?” Malaikat Maut
dengan penuh gerun dan tunduk patuh menjawab: “Ya Rabbi, tinggallah Engkau Yang
Maha Hidup dan Tak Akan Pernah Mati dan tinggallah para pembawa Arasy-Mu, dan
tinggallah Jibril dan Mikail serta aku.”
Seraya atas kekuasaanNya Allah berfirman: “Jibril dan Mikail
akan mati juga.” Maka Allah memberi kekuatan bagi Arasy (untuk berkata-kata),
sehingga ia berkata: “Ya Rabbi, akankah Jibril dan Mikail mati?”. Allah
berfirman dengan penuh hikmat keAgunganNya: “Diamlah, kerana sesungguhnya Aku
telah menetapkan kematian itu atas segala yang berada di Arasy Ku!.” Lalu atas
perintah Allah, Jibril dan Mikail pun menemui kematian.
Kemudian dengan penuh rasa gerun dan tunduk patuh, Malaikat
Izrail pun menemui Allah dan mengucapkan: “Ya Rabbi, telah mati Jibril dan
Mikail, tinggallah aku bersama para pembawa (Malaikat pejunjung) ArasyMu.”
Allah berfirman: “Para pembawa ArasyKu akan mati juga.”. Lalu mereka mati. Lalu
Allah memerintahkan Arasy untuk mengambil sangkakala dari Israfil. Lalu datang
Malaikat maut kepada Allah lalu berkata: “Ya Rabbi, para pembawa ArasyMu telah
meninggal juga.” Lalu Allah berfirman: (dan Dia lebih tahu siapa yang
tertinggal) “Siapakah tertinggal?”. Dengan penuh ketakutan dan amat rendah diri
Malaikat maut (Malaikat Izrail) menjawab: ““Ya Rabbi, tinggallah Engkau Yang
Maha Hidup dan Tak Akan Pernah Mati dan tinggallah aku.”
Allah dengan penuh kekuasaaNya berfirman: “Engkau adalah
salah satu ciptaan-Ku, engkau pun akan mati, maka matilah engkau!.” Maka
Malaikat Maut pun mati. Maka ketika itu tidak tertinggal satu pun makhluk
ciptaan Allah yang masih hidup, melainkan Allah Yang Maha Perkasa, Yang Tidak
Beranak dan Tidak Diperanakkan. Dialah pengakhiran sebagaimana Dialah
permulaan.
Para Ulama berlainan pendapat samada Arasy itu dikira suatu
nonmateri (bukan fizik) atau materi (fizik).
Lalu, Allah melipat langit dan bumi bagai melipat Kitab,
lalu Allah membentangkannya, lalu melipatkannya dengan 3 kali lipatan. Seraya
dengan gahnya berfirman: “Akulah Yang Maha Gagah!” (3 kali). Lalu Dia berseru:
“Milik siapakah kerajaan pada hari ini?” (3 kali), tetapi tidak ada jawapannya
(Kerana semua makhluk ciptaan sudah tiada melainkan Allah Yang Maha Kekal
Abadi). Lantas Allah berfirman pada DiriNya: “Milik Allah Yang Maha Esa dan
Maha Perkasa.”
Lalu Allah menggantikan bumi dengan bumi yang lain, dan
langit dengan langit yang lain. Dia menghamparkan, mendatarkan, dan
melapangkannya. Tidak ada padanya lekukan sedikit pun, kemudian Allah
menggoncangkan ciptaanNya dengan sekali goncangan dan tiba-tiba segala makhluk
yang asalnya menjadi penghuni langit dan bumi serta diantara kedua-duanya wujud
seperti sedia kala, kewujudan itu berlaku dengan mudah.
Firman Allah SWT dalam Surah Yaasin ayat 78-83:
“ Dan dia
membuat perumpamaan bagi Kami; dan dia lupa pada kejadiannya; ia berkata:
“Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?”.
Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang
pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk, iaitu Tuhan yang
menjadikan untukmu api dari kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api)
dari kayu itu.” Dan tidakkah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu
berkuasa mencipta kembali jasad-jasad mereka yang sudah hancur itu? Benar. Dia
Berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya perintah-Nya
apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!”, maka
terjadilah ia. Maka Maha Suci (Allah) Yang diTanganNya Kekuasaan atas segala
sesuatu dan kepada Nya lah kamu dikembalikan. ”
Kemudian Allah memerintahkan langit menurunkan hujan selama
40 hari sehingga air mencapai ketinggian 12 hasta. Kemudian Allah memerintahkan
seluruh jasad-jasad yang telah hancur luluh diseluruh semesta untuk tumbuh
laksana tumbuh-tumbuhan segar menghijau. Namun Al-Quran juga menjelaskan
seperti berikut tentang keadaan kebangkitan manusia di Hari Kiamat.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Zalzalah ayat 6:
“ Pada hari
itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya
diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. ”
Kemudian Allah SWT dengan KekuasaanNya berseru: “Hiduplah
Jibril dan Mikail!”. Lalu keduanya pun hidup, dan Allah memanggil Jibril dan
Mikail, lalu keduanya datang dengan beragam, roh-roh kaum mukminin nampak
bercahaya dan yang lain-lain gelap gelita. Lalu dilemparkan semua roh-roh
tersebut ke dalam sangkakala agar tiupan dari sangkakala itu dapat bertebaran
kembali ke jasad masing-masing.
Tiupan sangkakala ketiga
Kemudian atas kuasa Allah SWT, Ia menghidupkan Malaikat
Israfil, lalu diperintahkan untuk Malaikat Israfil untuk meniup sangkakala
dengan tiupan kali ketiga, pada tiupan ini dikenali tiupan kebangkitan. Maka
segala roh-roh yang ditempatkan dalam sangkakala itu bertebaran bagaikan lebah
yang memenuhi antara langit dan bumi. Dan ketika itu Allah berfirman; “Demi
Keagungan dan KemulianKu, hendaklah semua roh kembali ke jasadnya
masing-masing.” Maka segala roh akan kembali ke jasadnya mengikut ketentuan
yang telah Allah tentukan bagi mereka. Roh-roh manusia, kembali kepada manusia,
roh-roh haiwan kembali kepada haiwan, roh-roh tumbuhan kembali pada tumbuhan,
roh-roh batuan, pasir, laut, air, bumi, planet-planet, bintang-bintang, jin,
malaikat, syaitan dan segala makhluk ciptaan Allah yang lain pun kembali kepada
jasad-jasad mereka tanpa sesuatu pun terlepas dari pengetahuan dan kawalanNya.
Maka bangkit dan segar semua makhluk ciptaan Allah seperti mana ia berada alam
dunia suatu ketika dahulu, maka perasaan mereka bercampur baur ada yang takut,
hairan, gembira, dan sebagainya semua hanya menunggu penghakiman dari Allah
Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.
Firman Allah SWT dalam Surah Yaasin ayat 51 hingga 53
tentang tiupan sangkakala ketiga yang bermaksud:
“ Dan
ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya
(menuju) kepada Tuhan mereka. Mereka berkata: "Aduh celakalah kami!,
Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?" Inilah
yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya). Tidak
adalah teriakan itu selain sekali teriakan sahaja, maka tiba-tiba mereka
dikumpulkan kepada Kami. ”
Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, ia berkata:
“ Rasulullah
S.A.W bersabda: Jarak waktu antara dua tiupan sangkakala itu adalah empat
puluh. Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, apakah empat puluh hari? Ia
menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan.
Mereka bertanya lagi: Empat puluh bulan? Ia menjawab: Aku
tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh tahun? Ia menjawab:
Aku tidak dapat menyebutkan. Kemudian Rasulullah saw. bersabda lagi: Lalu Allah
menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya
tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur
selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (koksiks) dan dari tulang itulah jasad
manusia akan disusun kembali pada hari kiamat. (Nombor hadis dalam kitab Sahih
Muslim [Bahasa Arab saja]: 5253)
”
Dalil Al-Quran tentang sangkakala
Firman Allah S.W.T:
“ Dan
(ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah (gerun gementar)
makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang
dikehendaki Allah dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk
patuh. (Surah an-Naml : 87) ”
Firman Allah S.W.T:
“ Kemudian
(ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup- Dan bumi
serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan
sekali hancur, - Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, - Dan terbelahlah
langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh)," (Surah
Al-Haqqah : 13-17) ”
Firman Allah S.W.T:
“ Dan sudah
tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang
ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian
matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta
mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). (Surah az-Zumar : 68) ”
Firman Allah S.W.T:
“Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan
orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya
segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.
(Surah Yassin : 51) ”
Hadis tentang sangkakala
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
“Ketika seorang Yahudi menawarkan barang dagangannya dan
telah diberi sedikit gambaran bahawa beliau belum merasa puas hati atau tidak
meredainya, kalau tidak silap namanya Abdul Aziz berkata: Tidak, demi Zat yang
telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Seorang lelaki Ansar yang mendengar
kata-katanya terus menampar mukanya dan berkata: Kamu berkata Demi Zat yang
telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia? Bukankah Rasulullah S.A.W telah
berada di tengah-tengah kita? Lalu orang Yahudi tersebut pergi menemui
Rasulullah S.A.W dan berkata: Wahai Abu Al-Qasim! Sesungguhnya aku memiliki
jaminan dan perjanjian, tetapi si anu telah menampar mukaku. Rasulullah S.A.W
bertanya kepada lelaki Ansar tadi: Kenapa kamu menampar mukanya? Beliau
menjawab: Orang Yahudi telah berkata bahawa demi Zat yang telah memilih Nabi
Musa a.s kepada manusia. Bukankah engkau berada di tengah-tengah kami?
Rasulullah S.A.W menampakkan wajahnya yang marah dan bersabda: Janganlah kamu
mengutamakan di antara para utusan Allah. Sesungguhnya sangkakala iaitu sejenis
serunai akan ditiup. Apa yang berada di pelosok langit dan di bumi akan mati,
melainkan orang-orang yang dikehendaki oleh Allah. Pada tempoh yang lain pula
sangkakala iaitu sejenis trompet akan ditiup lagi. Maka aku adalah orang
pertama yang dibangkitkan. Apabila Nabi Musa a.s telah berpegang pada Arasy,
aku tidak tahu adakah telah diperhitungkan kematian Musa a.s (dengan tiupan
sangkakala) pada hari At-Tur atau beliaukah yang telah dibangkitkan sebelum aku
dan aku tidak akan berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang lebih utama
daripada Yunus bin Matta a.s
(Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]:
4376)”
Hadis jarak tiupan dua sangkakala
Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, ia berkata:
“Rasulullah S.A.W bersabda: Jarak waktu antara dua tiupan
sangkakala itu adalah empat puluh. Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, apakah
empat puluh hari? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan.
Mereka bertanya lagi: Empat puluh bulan? Ia menjawab: Aku
tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh tahun? Ia menjawab:
Aku tidak dapat menyebutkan. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi: Lalu
Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya
tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur
selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (koksiks) dan dari tulang itulah jasad
manusia akan disusun kembali pada hari Kiamat. (Nombor hadis dalam kitab Sahih Muslim
[Bahasa Arab saja]: 5253) “
Tiada ulasan:
Catat Ulasan